Projek ‘Big Band’
LAHIR dalam generasi yang berbeza tidak menghalang dua sahabat ini, Shajiry dan Dior untuk saling membantu mengangkat karier masing-masing.
Suatu ketika dahulu, pada era 90-an, nama Shajiry pernah popular dengan lagu Orang Kita.
Kemudian, dia melebarkan karier nyanyiannya dengan menganggotai kumpulan Kami Generasi Baru (KGB), yang pernah popular dengan lagu ciptaan Ajai, Hadirlah Kasih.
Namun, beberapa tahun selepas itu, kumpulan tersebut berkubur, manakala setiap ahlinya membuka langkah memilih haluan masing-masing.
Shajiry kemudiannya mula bergiat aktif sebagai pelakon sementara bidang nyanyian dilupakan buat seketika.
Berbeza dengan Dior, dia merupakan bakat baru yang mula mengukir nama setelah single sulungnya, Mengharap Sinar berjaya menempa tempat di peringkat separuh akhir Muzik Muzik 23.
Walaupun tidak mara ke Anugerah Juara Lagu 23, peluang itu sedikit sebanyak memperkenalkan nama Dior di persada muzik tempatan.
Kini, muzik menyatukan penyanyi dua zaman ini bagi memastikan mereka mampu bernafas seiring dengan penyanyi lain.
Bangkit kembali sebagai penyanyi
Mungkin disebabkan rindu dan minat yang mendalam dalam bidang nyanyian, jejaka yang berusia pertengahan 30-an ini tekad untuk aktif kembali sebagai penyanyi.
Bermodalkan wang simpanannya, Shajiry berusaha menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Five To Five Entertainment bagi memberi ruang untuknya meneruskan langkah awalnya suatu ketika dahulu.
Setahun berlalu, penat jerihnya berbayar apabila album mininya yang memuatkan lima buah lagu bakal berada di pasaran tidak lama lagi.
Bertemu dengannya di studio Utusan Melayu baru-baru ini, Shajiry memberitahu, dia memilih pop R&B sebagai genre untuk diketengahkan kepada umum.
“Memandangkan irama pop semakin menjadi pilihan ramai, saya optimis produk saya boleh diterima peminat saya yang sekian lama menunggu.
“Bagaimanapun, pemilihan pop bukanlah semata-mata ia disebabkan kesukaan ramai, tetapi jiwa saya cukup serasi dengannya.
“Keserasian itu membolehkan saya mengadunkan emosi saya ketika menyanyikan lagu yang ada dalam album ini,” ujar Shajiry.
Selain itu, katanya, susunan muzik yang segar serta suntikan elemen R&B memberikan sedikit kelainan.
Antara lagu baru yang dimuatkan dalam album Shajiry ialah, Ku Cinta Padamu, Sampai Nanti dan Siapa Di Hatimu.
Manakala dua lagu lain merupakan singlenya yang pernah popular suatu ketika dahulu iaitu Orang Kita dan Satu Satunya.
Menurut Shajiry, ketiga-tiga lagu barunya itu sudah pun diputarkan di radio-radio tempatan.
Strateginya memperkenalkan tiga buah lagu sekaligus agar memberi pilihan kepada stesen radio untuk mengetengahkan lagunya.
Shajiry berharap, lagu ciptaan Adnan Abu Hassan iaitu Siapa Di Hatimu berjaya mengubat rindu para peminat yang sekian lama menunggu kehadirannya di pentas muzik tanah air.
Yours sincerely, DIOR 디요
No comments:
Post a Comment