Hip
Artis dangdut bela nasib Seri Bayu
Oleh Rozdan Mazalan
2010/05/2
Konsert khas kumpul dana pada 30 Mei di Dataran Astaka Tanjung KarangHIDUPNYA kini bagaikan sebatang kara. Tiada adik-beradik, saudara mara malah sahabat yang dulu sering menumpang kesenangan hilang begitu saja. Beginilah kehidupan yang dilalui penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik.
Lebih menyedihkan, makan, minum, pakai dan membuang najis tidak terjaga. Malah tutur kata langsung tidak difahami sesiapa. Tubuh yang langsung tidak bermaya untuk digerakkan menyebabkan Seri Bayu bergantung kepada lampin pakai buang setiap masa.
Siapa sangka, walaupun kudratnya tidak mampu untuk mengangkat hanya sebatang pen pun dan tidak mampu mengeluarkan sepatah perkataan dari bibirnya, namun Seri Bayu berjaya menghasilkan lirik terbarunya bergenre dangdut berjudul Muah..Muah Sheeda.
Biarpun dia kini tidak mempunyai sumber pendapatan, namun dia tidak mengharapkan sebarang bayaran apabila buat kali pertama menghasilkan lirik genre dangdut khas untuk penyanyi dangdut popular, Sheeda.
Menurut Sheeda, dia yang terkejut menerima lirik khas dibuat untuknya daripada pengirim misteri, tidak menyangka bahasa yang puitis itu dibuat oleh Seri Bayu tanpa meminta bayaran.
“Saya menerima lirik itu daripada seseorang yang dipanggil Ayah Man. Dia menyatakan lirik itu ditulis Seri Bayu dan tidak meminta bayaran langsung dan secara kebetulan saya juga sedang mencari lagu untuk album terbaru saya.
“Bila dibaca bait lirik itu, memang saya tidak menyangka betapa indah bahasa yang ditulis oleh Seri Bayu. Selepas itu tergerak hati saya untuk pergi dan berjumpa dengan Seri Bayu.
“Bila sampai di rumahnya, saya terkejut dan terus tersentuh melihat keadaan dirinya yang begitu daif terlantar tanpa siapa yang peduli hidupnya. Saya menitiskan air mata melihat keadaan itu.
“Apabila melihat keadaannya begitu, saya terus berkata kepadanya saya tidak akan mengambil lirik itu tanpa sebarang bayaran,” katanya yang ditemui, baru-baru ini. Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Lantas timbul di hati kecilnya untuk melakukan sesuatu bagi membantu penderitaan yang ditanggung selama ini. Mungkin secara peribadi tidak terdaya untuk dia melakukan berseorangan dan perancangan diaturkan bersama Ayah Man untuk dibawakan usul itu kepada persatuan Karyawan.
Maka pada 30 Mei ini, lebih 20 artis akan berkumpul dalam menjayakan Konsert Dangdut Khas Dana Untuk Penulis Lirik Seri Bayu.
“Saya memilih dangdut kerana saya senang bekerja dengan artis sealiran dengan saya dan tidak menyangka juga ramai artis yang ingin turut serta. Kami juga mendapat kerjasama dengan persatuan penduduk Tanjung Karang, Selangor dan maka sebab itulah konsert ini diadakan di sana.
“Konsert yang akan berlangsung di Dataran Astaka Tanjung Karang bermula jam 8.45 malam akan disertai selain saya, Ewan, Zaleha Hamid, Herman Tino, Salwa Abd Rahman dan ramai lagi.
“Artis yang sudah membuat persetujuan untuk hadir seperti Tushee, Sara, Siti Fairuz, Hashima, Bella, Bienda, Sawiah, Halil Chik, Aris Abdul, Dior, Amir (Raja Lawak), Oney, Jojo, Mas Omar dan ramai lagi,” katanya yang akan mengedarkan tabung sepanjang program itu berlangsung bermula jam 5 petang dan masuk adalah percuma.
Sementara itu, bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan secara peribadi boleh salurkan ke akaun Seri Bayu iaitu EON Bank 0166200019007 (Jamaludin Sulik) atau sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat Karyawan di talian 03-79552967.
No comments:
Post a Comment