Artis perlu mempromosi diri
TIGA bakat baru, Iz, Elfie Hefri dan Dior percaya dengan keunikan bakat yang ada pada mereka dapat memeriahkan industri seni tanah air. Meskipun masih belum dikenali sepenuhnya tetapi usaha ke arah mempromosikan diri pasti membuahkan hasil.
Mereka sedar, artis indie seperti mereka perlu bijak untuk mencari peluang untuk memasarkan diri sendiri dengan cara apa sekalipun. Perlu tabah untuk menempuh cabaran terutama bersaing dengan bakat yang kebanyakannya daripada rancangan program realiti.
Bekas peserta program One In A Milion (OIAM2) Iz berkata, publisiti merupakan satu cara pengenalan kepada seseorang artis.
“Bagaimana cara kita mendapatkan publisiti bergantung kepada artis itu sendiri. Saya memilih untuk mencari publisiti sendiri,” kata duta Toshiba ini yang semakin giat mempromosikan komputer riba terbaru syarikat itu Toshiba Protege M900.
Iz atau nama sebenar Ezuan Sulaini ini juga sedaya upaya memastikan jadualnya terisi dengan pelbagai aktiviti yang boleh menghubungkan dirinya dengan orang awam.
Bagi Elfie Hefri pula, artis baru perlu pandai merebut peluang yang ada. Mereka perlu bijak dan tidak boleh malu untuk menunjukkan bakat mereka kepada orang ramai.
“Kita perlu ada sasaran khalayak. Fokus kepada pemilihan lagu yang mesra pendengar. Cara sebegini dapat menambat hati pendengar. Mereka ini adalah juri kepada produk yang kita hasilkan. Disebabkan ada banyak produk yang ada di luar sana, kita perlu rancang strategi untuk mempromosikan diri sendiri,” kata lelaki berbintang Saggittarius ini.
Naib Juara Bintang Irama Malaysia Pahang 2001 ini juga memasang cita-cita untuk menyertai salah satu daripada program realiti tahun depan sebagai eksperimen pengenalan diri kepada khalayak.
Sementara itu, Dior merasakan artis baru perlu mencari menampilkan genre muzik dan imej yang berlainan dan berkesan. Keunikan tersebut dapat membantu seseorang artis itu meraih perhatian daripada orang lain.
“Saya sendiri menceburi bidang ini sebagai penari sejak 2003. Saya dapati cara efektif adalah dengan menampilkan muzik berlainan kepada khalayak. Saya sendiri memilih irama pop Jawa. Lebih rancak dan bertenaga terutama ketika membuat persembahan,” kata penyanyi Mengharap Sinar ini.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga menyedari berkemungkinan agak lucu buat orang muda seperti meminati irama sedemikian tetapi pengaruh itu sudah sebati dengan jiwanya. Dia kini sedang rancak mempromosikan single ketiga berjudul Sampai Ke Lantai yang bertemakan dangdut pop dance.
Credit : Utusan.com & Pancaindera.
No comments:
Post a Comment