Monday, May 24, 2010

Konsert untuk bantu Seri Bayu

JoJo & Dior
24 Mei 2010 / 10 Jamadil Akhir 1431
HIBURAN

Konsert untuk bantu Seri Bayu


RELA... Sebahagian artis yang akan memeriahkan Konsert Dana Ehsan untuk mengutip derma membantu penderitaan Seri Bayu.


SUMBANGAN besar penulis lirik, Seri Bayu pada industri hiburan tidak sewajarnya dipertikaikan. Sudah lama dia berkarya dan sudah terlalu banyak lagu popular yang liriknya ditulis penulis berkenaan.

Namun kini, kegemilangan Seri Bayu sudah semakin pudar lantaran derita kesakitan yang dialaminya.

Sehubungan itu, sebuah konsert dangdut amal yang dinamakan Konsert Dana Ehsan bakal menghimpunkan beberapa artis dangdut tanah air demi mengumpul dana untuk membantu penulis lirik terkenal tanah air, Seri Bayu.

Konsert amal yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mei ini menyaksikan beberapa barisan artis dangdut seperti Sheeda, Iwan, Zaleha Hamid, Herman Tino, dan Salwa Abdul Rahman membuat persembahan untuk menghiburkan peminat yang hadir.

Penganjur konsert yang diterajui Presiden Karyawan dan Terra Venture Event Management serta Koperasi Peniaga Anak Tanjung Karang sepakat memilih Dataran Astaka Tanjung Karang, Kuala Selangor sebagai lokasi berlangsungnya acara kebajikan itu.

Konsert Amal untuk membantu meringankan penderitaan yang dilalui Seri Bayu yang menghidapi penyakit saraf itu diilhamkan oleh penyanyi dangdut terkenal Sheeda bersama rakan-rakan artis seperti Salwa, Pian Cecupak serta seorang insan yang sering membantu Seri Bayu yang digelar Ayah Mie.

Menurut Sheeda, pengacara yang akan menghangatkan suasana konsert pada malam itu nanti adalah Pian dan Amir Raja Lawak.

"Bermula pukul 3 petang pada hari yang sama, para artis akan berada di dataran tersebut untuk sesi bersama peminat di samping menyertai beberapa aktiviti karnival rakyat seperti sukaneka dan karaoke.

"Aktiviti pada sebelah petang itu akan menyaksikan beberapa artis lain selain artis dangdut turut hadir bagi menjayakan karnival berkenaan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Karyawan baru-baru ini.

Tambah Sheeda, pada karnival itu nanti, tabung kutipan derma akan mula diedarkan bagi mengumpul dana tersebut sehinggalah berlarutan ke malam konsert.

Beberapa orang artis yang sudah mengesahkan kehadiran mereka untuk sama-sama memeriahkan karnival pada petang itu ialah Tushee, Siti Fairuz, Hashima, Bienda, Sawiah, Halil Chik, Dior, Oney May, Mas Omar dan ramai lagi.

Sehubungan dengan itu, Sheeda menjemput penduduk di sekitar Tanjung Karang hadir untuk sama-sama berhibur di samping dapat melakukan amal kebajikan.


Yours sincerely,DIOR 디요

No comments: