Sunday, November 28, 2010

Shajiry jual minyak wangi 27/11/10 article in Harian Metro


BAIK dalam nyanyian mahupun lakonan, pengikut dunia seni tempatan sudah kenal dengan Shajiry Damery.
Dia sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri yang setia mengikuti perkembangan kariernya. Lagu dari album solonya, Orang Kita serta Hadirlah Kasih ketika bersama kumpulan KGB masih diminati peminat sehingga kini.

Bertitik tolak dari situlah, Shajiry masih bersemangat untuk menghasilkan album terbaru. Kali ini konsepnya berlainan kerana menampilkan lagu nyanyiannya yang dimuatkan dalam drama. Konsep album ini dipelbagaikan kerana mengandungi lagu berirama pop balada, rock dan R&B. "Album ini memuatkan lima lagu di mana tiga lagu baru dan dua lagu lama. Lagu baru ialah Ku Cinta Padamu, Sampai Nanti dan Siapa Di Hatimu. "Manakala dua lagu lama ialah Orang Kita dan Satu-Satunya. Syukur lagu ini sudah mula dimainkan di stesen radio tempatan. Saya memang mengharapkan lagu Siapa Di Hatimu ciptaan Adnan Abu Hassan diterima peminat.

"Saya terpanggil buat album kerana sampai sekarang pun masih lagi diundang buat persembahan di merata-rata tempat. "Sekarang syarikat Warisan Wanita Sdn Bhd iaitu pengusaha rawatan resdung menaja saya dan dua lagi artis iaitu Dior Shahril dan Fazli Zainal untuk terbabit dengan sesi promosi rawatan mereka di seluruh negara. Kerjasama ini dijalin sejak September lalu.

"Mereka nampak kebolehan kami yang boleh menghiburkan dan tarik penonton ke gerai mereka serta mampu berkomunikasi dengan baik dengan peminat. "Persembahan kami bukanlah secara bersama, tapi secara individu. Peluang itu saya gunakan dengan menyanyikan semula lagu lama untuk menyegarkan semula ingatan peminat," katanya.

Menariknya selain dijual menerusi kaedah biasa dengan harga RM19.90, album ini turut dijual dengan pakej istimewa bersama minyak wangi jenama 5 To 5 milik Shajiry sendiri. Jika peminat membeli minyak wangi, secara automatik mereka akan dihadiahkan dengan album terbarunya.



Minyak wangi ini ada dua jenis iaitu Red Queen dan Black King. "Dengan harga RM120.00 untuk 2 botol, peminat akan mendapat CD saya secara percuma. "Sebelum ini sudah tujuh tahun saya jadi ejen menjual minyak wangi yang 'direject' kerana masalah teknikal. Selepas itu saya mencari sendiri pengeluar minyak wangi keluaran tempatan dan mendapati jenis ini sesuai untuk dijadikan jenama milik sendiri. "Alhamdulillah sambutan yang diberikan oleh pengguna begitu menggalakkan. Orang Malaysia juga mampu hasilkan minyak wangi yang berkualiti dan saya bercadang memasarkannya ke negara lain selepas ini. Minyak wangi ini juga boleh didapati menerusi online dan sesiapa yang berminat boleh melayari alamat 5To5 com.my," kata Shajiry.

Menerusi syarikatnya Five To Five Entertainment juga, Shajiry bekerjasama dengan The Convolvulus Entertainment milik Dior Shahril untuk mengadakan pencarian bakat baru dunia seni yang dinamakan Projek Big Band. Pencarian uji bakat yang diadakan di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan ini terbuka kepada kumpulan yang mengandungi tiga hingga enam anggota.

"Kami sebenarnya mencari artis vokal berkumpulan. Kami mahu kembalikan semula kegemilangan kumpulan vokal seperti mana dahulu. Penyertaan dibuka kepada semua dan tiada had umur. Bayaran pendaftaran hanya sebanyak RM150. "Pemenang pertandingan ini berpeluang menghasilkan single dengan syarikat kami. Sesiapa yang berminat boleh melayari laman Facebook kami untuk keterangan lanjut," katanya.


Yours sincerely, DIOR 디요