Friday, February 20, 2009

Dior jual album melalui Internet(UTUSAN 19/02/09)

IRAMA dangdut yang diberi suntikan pelbagai genre muzik lain menjadikan lagu-lagu nyanyian Dior lebih segar dan terkini

IRAMA dangdut yang diberi suntikan pelbagai genre muzik lain menjadikan lagu-lagu nyanyian Dior lebih segar dan terkini.
KELEMBAPAN ekonomi dan pasaran album sejak kebelakangan ini menyebabkan tidak banyak syarikat rakaman yang berani menerbitkan album artis-artis tempatan.
Kalau adapun album-album tempatan yang diterbitkan ia kebanyakannya berbentuk album single yang mengandungi tidak lebih daripada empat buah lagu.

Penyanyi baru, Dior turut melalui senario itu dengan tampil menerusi album singlenya yang pertama berjudul Sampai Ke Lantai yang mula dipasarkan pada Jun tahun lalu.
Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, album itu bukan sahaja diterbitkan oleh syarikat miliknya, The Convolvulus Entertainment, malah dia turut mengedarkannya sendiri di Internet.

"Kalau hendak tunggu syarikat rakaman lain, tidak tahu sampai bila saya akan ada peluang merakamkan album sendiri. Album ini saya rakamkan dengan menggunakan duit sendiri.
"Malah, saya juga tidak menggunakan khidmat pengedar, sebaliknya saya mengedarkannya sendiri menerusi Internet seperti di laman web Myspace dan Facebook.
"Setakat ini hampir 1,000 unit album single saya yang berharga RM10 setiap satu telah terjual," katanya.

Jelas Dior atau nama sebenarnya Shahril Shaari, dia menggunakan khidmat rakan-rakannya di Internet bagi mempromosikan album single yang mengandungi empat buah lagu itu.
Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan sekali kerana ramai yang tertarik dengan album berkonsepkan dangdut yang divariasikan dengan pelbagai konsep muzik.

"Walaupun irama dangdut semakin terpinggir dalam industri muzik tempatan tetapi saya yakin kita masih ada ramai peminat asalkan album yang ditampilkan itu ada pembaharuan.
"Sebagai contohnya, saya bukan setakat menampilkan intipati irama dangdut tetapi saya turut menyelitkan elemen-elemen muzik lain seperti fusion, world music dan gamelan.

"Adunan muzik itu menjadikan lagu-lagu dalam album single saya itu kedengaran lebih segar dan terkini. Sebab itu, saya yakin irama dangdut masih ada peminat dan akan terus diterima," ujarnya.

Penerimaan para peminat terhadap album single sulung Dior itu dapat dilihat apabila salah satu lagunya berjudul Mengharap Sinar berjaya ke separuh akhir rancangan Muzik-Muzik tahun lalu.
Selain Mengharap Sinar, lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album single Dior itu berjudul Sampai Ke Lantai, Sinar Cinta dan You're Not Being True.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan album Dior sila layari laman sesawangnya menerusi www.myspace.com/diorshah atau hubungi talian telefon 014-26 32919.
THNX ABG AZIZ ITAR!!!

No comments: